Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman, Berita Terkini & Siaran Akhbar

Majlis Bencana Kebangsaan 01/2019

IMG_4120.JPG

​Bandar Seri Begawan, 4 November 2019 - Mesyuarat Pertama Majlis Bencana Kebangsaan bagi tahun 2019 ini telah berlangsung di Bilik Mesyarat Utama, Aras 4, Jabatan Daerah Brunei-Muara, Jalan Muhibbah, Bandar Seri Begawan.

Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan. Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Dalam Ucapan alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengingatkan ahli-ahli Majlis Mesyuarat bahawa pada ketika ini negara memasuki musim tengkujuh dan berkemungkinan besar berlakunya kejadian-kejadian seperti banjir, banjir kilat serta angin kencang. Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan menyeru agar ahli-ahli Majlis Bencana Kebangsaan akan dapat meningkatkan kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa terjamin dengan menggunakan pendekatan "Whole-of-Nation Approach" perlu diambil kira dengan melibatkan sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan sukarelawan serta para pemimpin akar umbi dalam sama-sama bersiap sedia dan bertindak balas dalam pengurusan bencana bersama agensi-agensi kerajaan sekiranya diperlukan.

Sehubungan ini, Yang Berhormat Menteri menekankan untuk memberi lebih perhatian kepada tempat-tempat yang berisiko banjir dengan persediaan 'structural' dan 'non-structural' melalui apa jua kaedah yang sedia ada bagi mencapai negara yang berdaya tahan terhadap bencana melalui tindakan dan perlaksanaan agensi-agensi yang berkepentingan.

Demikian juga, ahli-ahli Majlis Bencana Kebangsaan digesa untuk memberi perhatian kepada cabaran baru yang dibawa oleh perkembangan industri negara dan juga isu perubahan iklim yang dibangkitkan di peringkat serantau dan antarabangsa. Isu ini memerlukan perhatian yang serius dan tindakan bagi mengurangkan impak, mencegah dan meningkatkan kesiapsiagaan dalam mengadaptasi perubahan iklim ini dengan penglibatan pelbagai sektor di negara ini.

Sementara itu, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan telah berjaya mengembangkan kerjasama dengan negara-negara serantau yang mana pelbagai amalan terbaik dipelajari dan di ambil sebagai tauladan bagi memastikan dasar dan rancangan pengurusan bencana di negara ini setaraf dengan piawaian serantau dan antarabangsa mengikut kesesuaian negara bagi memantapkan lagi rancangan pengurusan bencana di negara ini. Di antaranya, Negara Brunei Darussalam telah menjadi Tuan Rumah dan Penganjur bagi 'The 11th ASEAN-ERAT Induction Course' dengan kerjasama AHA Centre pada bulan April yang lalu. Sehingga kini, seramai 23 pakar tempatan telah diiktiraf dalam membuat penilaian dan penyelarasan bantuan bencana berskala besar.

Berdasarkan amalan terbaik dan pengalaman yang diperolehi dari rakan serantau dan antarabangsa, buat julung kalinya, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan telah mengadakan Program Latihan Penyelaras Kesiapsiagaan Bencana atau dikenali  sebagai 'Disaster Preparedness Coordinator (DPC)'. Seramai 45 orang yang terdiri daripada Ahli Majlis Perundingan Kampong termasuk pemimpin akar umbi telah diiktiraf sebagai Ahli DPC yang berperanan sebagai penghubung di antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dengan masyarakat ketika berlakunya bencana.

Yang Berhormat Menteri juga memohon kerjasama dan jasa baik ahli-ahli Majlis bagi mengongsikan maklumat, pandangan dan cadangan mengenai perlindungan insurans kepada masyarakat terutama yang mudah terdedah kepada risiko bencana bagi mengurangkan beban dalam menanggung kos perbelanjaan bagi kerja-kerja pemulihan dan bantuan kemanusiaan. Perkara ini adalah juga selaras dengan tema Hari ASEAN bagi Pengurusan Bencana 'ASEAN Day for Disaster Management' pada tahun ini yang bertemakan 'Bridging DIsaster Recovery to Resilience'.

Majlis secara khususnya mendengarkan taklimat mengenai laporan dan rancangan ke hadapan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan serta persiapan menghadapi musim tengkujuh yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie, Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

Seterusnya, ahli-ahli mesyuarat telah mendengarkan beberapa taklimat mengenai kemajuan dan kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam isu-isu berkaitan dengan pengurusan bencana di peringkat nasional dan antarabangsa.

Taklimat mengenai Projek Mengurangkan Banjir dan Tanah Susur yang disampaikan oleh ir.Lim Sui Kau Alice, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Kementerian Pembangunan melaporkan tentang kawasan-kawasan terdedah kebanjiran dan tanah susur di Negara Brunei Darussalam dan persiapan yang dijalankan bagi pencegahan banjir dan tanah susur.

Taklimat ini diikuti dengan Taklimat 'International Health Regulations' (IHR) yang disampaikan oleh Dr. Hjh Anie Haryani Bte Haji Abdul Rahman, Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan. Dr Hjh Anie Haryani bte Haji Abdul Rahman mengongsikan hasil daripada 'Joint External Evaluation, (JEE) yang telah menilai keupayaan Negara Brunei Daruassalam dibawah IHR untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap ancaman kesihatan awam sama ada berlaku secara semula jadi atau disebabkan secara sengaja atau tidak sengaja.

Ahli-ahli Mesyuarat juga mendengar taklimat mengenai inisiatif Perubahan Iklim Kebangsaan yang disampaikan oleh Noor Dina Zharina bte Haji Yahya, Ketua Urusetia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam daripada Kementerian Tenaga (Tenaga dan Manusia) dan Perindustrian. Taklimat tersebut mengandungi status negara dalam merangka 'National Climate Policy' yang akan merangkumi langkah-langkah adaptasi perubahan iklim yang boleh mengurangkan impak kesan perubahan iklim.

Turut menghadiri Mesyuarat Pertama Majlis Bencana Kebangsaan pada tahun ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi  Jawatankuasa Keselamatan Negara; Yang Mulia Awang Mohd. Amir Hairil bin Haji Mahmud, Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Setiausaha Majlis Bencana Kebangsaan; Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Kementerian-Kementerian Kerajaan yang lainnya.

Created at 13/11/2019 15:53 by Abu Mansor Al-Maturidi bin Haji Zabandi
Last modified at 13/11/2019 15:53 by Abu Mansor Al-Maturidi bin Haji Zabandi