Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan

Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) merupakan agensi peneraju yang memikul mandat utama dalam mengurus dan mengurangkan risiko bencana di Negara Brunei Darussalam. Ditubuhkan secara rasmi di bawah Perintah Pengurusan Bencana, 2006, NDMC berfungsi sebagai tunjang utama negara dalam menyelaras strategi kesiapsiagaan, respons, dan pemulihan bencana secara menyeluruh.

Sebagai agensi di bawah pentadbiran Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), kami komited dalam memastikan keselamatan negara terjamin melalui penyelarasan yang mantap antara pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat umum.

Di peringkat serantau, NDMC bertindak sebagai National Focal Point bagi ASEAN Committee on Disaster Management (ACDM). Peranan ini meletakkan NDMC sebagai penghubung utama Negara Brunei Darussalam dalam memacu kerjasama strategik, perkongsian maklumat, dan pelaksanaan mekanisma pengurusan bencana bersama negara-negara jiran di bawah payung ASEAN.

VISI

Pusat Koordinasi Yang Kompeten Dalam Pengurusan Bencana

MISI

Membina Masyarakat Yang Berdaya Tahan Demi Kesejahteraan Negara