Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman, Berita Terkini & Siaran Akhbar

Majlis Penutup Kursus Induksi Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) Kali Ke-11

IMG_20190408_100050.jpg

​Majlis Penutup Kursus Induksi Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) Kali Ke-11 atau the 11th ASEAN-Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) Induction Course telah diadakan di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Bolkiah, Berakas pada hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil pengiktirafan beserta jaket atau vest ASEAN-ERAT ialah Yang Mulia Awg Ajman bin Haji Meludin, Pemangku Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Tetamu Kehormat Majlis.

Seramai 30 orang peserta Kursus Induksi ASEAN-ERAT Kali Ke-11 terdiri dari negara-negara anggota ASEAN termasuk lapan (8) orang dari Negara Brunei Darussalam menerima sijil masing-masing setelah menamatkan Kursus Induksi selama lapan (8) hari bermula 8 hingga 15 April 2019. Dengan selesainya Kursus Induksi Ke-11 ini, ASEAN kini mempunyai 304 ahli ASEAN-ERAT yang bersedia untuk bertindak balas terhadap bencana utama di rantau ASEAN.

Semasa Majlis Penutup tersebut, dua orang peserta selaku ahli ASEAN-ERAT telah berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai kursus yang merangkumi bidang teori, praktikal dan teknikal seperti koordinasi, logistik, pengurusan maklumat dan kepimpinan termasuk semua aspek penting dalam tindak balas kecemasan dan penyediaan bantuan kemanusiaan serta berurusan dengan media selaras dengan perkembangan era digital dan media sosial yang semakin meningkat dari masa ke semasa.

Pelbagai isu yang ditangani dalam kursus induksi ini adalah bagi memastikan para peserta mempunyai landasan kemahiran yang kukuh dan pengetahuan yang diperlukan dalam memenuhi objektif dan sasaran dari mana-mana pergerakan atau pengkerahan ahli ASEAN-ERAT jika berlaku bencana di masa akan datang.

Para peserta Kursus Induksi telah berjaya melaksanakan latihan simulasi selama 48 jam yang mana mereka berhadapan dengan senario-senario kejadian dan situasi bencana yang telah dibentuk bagi menguji kemahiran dan daya tahan mereka dalam menangani sebarang kecemasan atau kejadian bencana.

Pasukan Tindak Balas dan Penilaian Kecemasan Pasukan ASEAN-ERAT terdiri daripada individu yang berpengalaman dan terlatih yang teah menangani kejadian bencana di rantau ini. ASEAN-ERAT ditubuhkan oleh Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ASEAN Committee on Disaster Management – ACDM), yang terdiri daripada ketua organisasi pengurusan bencana kebangsaan di sepuluh negara anggota ASEAN. ASEAN-ERAT diuruskan oleh Pusat Penyearasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA), yang berfungsi sebagai hub penyelarasan untuk menggerakkan sumber ke Kawasan-kawasan yang terkena bencana di rantau ini.

Kursus Induksi Pasukan Tindak dan Penilaian Kecemasan ASEAN (ASEAN-ERAT) Kali Ke-11 ini dianjurkan bersama oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).

Hadir sama ke majlis ini ialah Mr. Arnel Capili, Deputy Executive Director of ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre), Yang Mulia Awang Haji Zafri bin Haji Mohamed, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan wakil-wakil agensi serta organisasi yang berkepentingan dari dalam dan luar negara.

Created at 01/05/2019 09:19 by Abu Mansor Al-Maturidi bin Haji Zabandi
Last modified at 01/05/2019 09:19 by Abu Mansor Al-Maturidi bin Haji Zabandi