Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman, Berita Terkini & Siaran Akhbar

Lawatan Rasmi Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia ke Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC)

INFODEPT02-14.jpg

​Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, telah membuat lawatan ke Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) hari ini.

 

Ketibaan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Wan Azizah serta rombongan dialu-alukan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, yang juga selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan. Turut mengalu-alukan ialah Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

 

Di antara aturcara yang telah disusun ialah sesi taklimat yang disampaikan oleh Yang Mulia Kolonel (B) Pg Haji Maiddin bin Pg Haji Said, Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan yang mana di antara isi kandungan taklimat berkenaan adalah mengenai latar belakang NDMC dan mekanisme pengurusan bencana di Negara Brunei Darussalam.

 

Beberapa perkara utama yang telah dibincangkan selepas sesi taklimat tersebut, meliputi peluang-peluang kerjasama di antara Brunei dan Malaysia dalam menangani bencana seperti pembangunan kapasiti dalam operasi mencari dan menyelamat, latihan-latihan bersama (joint exercise) dalam menghadapi bencana seperti tsunami dan banjir, potensi mengujudkan Prosedur Operasi Standard atau Standard Operating Procedure bagi menangani kejadian bencana merentas sempadan melibatkan Sabah dan Sarawak.

 

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Wan Azizah serta rombongan juga membuat lawatan ke Pusat Perintah Bencana (Disaster Command Centre). Taklimat mengenai fungsi dan tanggungjawab Pusat Perintah Bencana telah disampaikan oleh Pegawai Pengurusan Bencana Kanan.

 

Lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dalam bidang pengurusan bencana.

Created at 29/04/2019 10:34 by Abu Mansor Al-Maturidi bin Haji Zabandi
Last modified at 29/04/2019 10:34 by Abu Mansor Al-Maturidi bin Haji Zabandi