Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman, Berita Terkini & Siaran Akhbar

MAJLIS IBADAH KORBAN KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA ANJURAN PUSAT PENGURUSAN BENCANA KEBANGSAAN BAGI TAHUN 1446H/2025M

WhatsApp Image 2025-06-26 at 10.48.26.jpeg

​Bandar Seri Begawan, 10 Jun 2025 – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Ibadah Korban yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) selaku pengendali majlis pada tahun ini bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Tuan Abdul Walid bin Haji Metassan, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan Takbir Hari Raya sebanyak tiga kali yang diketuai oleh Yang Mulia Ustaz Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Majlis diserikan lagi dengan ceramah bertajuk “Pengorbanan dalam Islam” yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sallehuddin, Pegawai Perkembangan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian daging korban kepada peserta-peserta Ibadah Korban serta kepada 50 orang penerima dalam kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya yang telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada Yang Mulia Ustaz Fariszal bin Ali selaku pembaca doa majlis, dan kepada Yang Mulia Ustaz Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sallehuddin selaku penceramah undangan.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ketua-Ketua Jabatan serta Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.


Created at 26/06/2025 15:19 by abu.zabandi
Last modified at 26/06/2025 15:19 by abu.zabandi