Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman, Berita Terkini & Siaran Akhbar

MAJLIS PEMBUKAAN BENGKEL BAGI MEMBENTUK PELAN RESPON BENCANA INVENTORI PERINGKAT KEBANGSAAN (NATIONAL INVENTORY DISASTER RESPONSE PLAN - NIDRP)

WhatsApp Image 2025-06-25 at 15.38.19.jpeg

​Bandar Seri Begawan, 27 Mei 2025 – Bengkel selama tiga hari bagi membentuk Pelan Respon Bencana Inventori Peringkat Kebangsaan atau National Inventory Disaster Response Plan (NIDRP) telah bermula pada hari ini bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam.

Bengkel ini merupakan satu inisiatif baharu anjuran Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) bagi memperkukuhkan kecekapan dan kesiapsiagaan pengurusan bencana di Negara Brunei Darussalam. Melalui bengkel ini, pembangunan dokumen komprehensif NIDRP dilaksanakan sebagai panduan utama dalam usaha menguruskan tindak balas kecemasan di peringkat kebangsaan.
Dokumen ini akan menyenaraikan secara terperinci sumber tenaga kerja pakar serta aset kelengkapan dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berpotensi untuk dikerahkan bagi operasi bantuan bencana di peringkat kebangsaan dan serantau.
Majlis pembukaan bengkel telah disempurnakan oleh Tetamu Hormat Majlis, Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam. Dalam ucapan beliau menyatakan bahawa pengurusan sumber dan aset yang cekap dan berkesan sangat diperlukan dalam menangani bencana dan kecemasan. Pengurusan dan pengurangan risiko Bencana adalah isu rentas sektor yang melibatkan pelbagai pihak dan masyarakat, yang memerlukan usaha dan kerjasama yang bersepadu dan menyeluruh. Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) selaku peneraju pengurusan bencana di negara ini dalam menganjurkan bengkel seperti ini sebagai salah satu inisiatif dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi bencana.
Bengkel ini telah dihadiri oleh lebih kurang 50 orang peserta yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkepentingan dalam pengurusan bencana di negara ini. Ini termasuk para peserta yang telah menyertai Bengkel ASEAN-Joint Disaster Response Plan (AJDRP) dan Kursus Induksi ASEAN-Emergency Response Team (ASEAN-ERAT).
Sepanjang bengkel, para peserta akan didedahkan kepada taklimat berkaitan dan menyertai aktiviti praktikal dalam pengumpulan data sumber tenaga manusia dan aset kelengkapan yang boleh dikerahkan. Bengkel ini juga menyediakan platform bagi perbincangan dan pembentangan kumpulan yang bertujuan untuk mengenal pasti keupayaan serta cabaran
dalam aspek koordinasi antara sektor kerajaan dan bukan kerajaan dalam usaha tindak balas bencana. Maklumat yang diperoleh akan didokumenkan dalam NIDRP sebagai living document yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa agar kekal relevan dan berkesan sebagai rujukan utama negara dalam kesiapsiagaan dan tindak balas bencana.
Selaras dengan semangat serantau di bawah inisiatif ‘One ASEAN, One Response’, data dari pelan ini juga akan dikongsikan bersama AHA Centre bagi menyokong penyelarasan AJDRP dan kesiapsiagaan Negara Brunei Darussalam dalam penglibatan serantau.


Created at 26/06/2025 15:15 by abu.zabandi
Last modified at 26/06/2025 15:15 by abu.zabandi